fbpx

Jatuh tingkat 11: Mengigau kerana demam, budak 12 tahun meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-KANAK yang jatuh tingkat 11 Rumah Pangsa Larkin, Jalan Garuda, Johor Bahru akhirnya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) tengah malam tadi.

JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki yang terjatuh daripada kediaman keluarganya di tingkat 11 di Rumah Pangsa Larkin di Jalan Garuda di sini semalam dilaporkan telah meninggal dunia tengah malam hari ini.

Mangsa yang berusia 12 tahun itu pada mulanya mengalami kecederaan patah tangan kiri selepas dilaporkan terjatuh daripada tempat tinggi sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia pada pukul 12.30 malam tadi ketika sedang menerima rawatan.

“Polis mengesahkan terdapat kes berkenaan, dan kematian kanak-kanak lelaki berkenaan dilaporkan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, kanak-kanak tersebut merupakan anak tunggal dan berada dalam keadaan tidak sihat setelah demam beberapa hari.

Dalam kejadian berkenaan, kanak-kanak itu dikatakan sedang tidur sebelum mengigau sehingga menyebabkan dia terjatuh daripada ketinggian itu.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Zulkarnain Ariffin memberitahu, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kanak-kanak itu terjatuh pada pukul 7.31 malam, semalam.

“Seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke kejadian bagi operasi menyelamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI