PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail telah tiba di Singapura untuk lawatan rasmi ke republik itu.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Anwar memaklumkan, turut sama pada lawatan tersebut adalah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Delegasi tersebut juga turut diiringi Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Jelas Anwar ketibaan delegasi beliau disambut Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan bersama beberapa pemimpin lain.
“Semoga lawatan ini akan memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama kedua-dua negara,” tulisnya.
Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di peringkat global dan paling besar dalam kalangan 10 negara rantau Asia Tenggara sepanjang tahun lepas.
Kedua-dua negara merekodkan nilai perdagangan yang berjumlah RM367.53 bilion dengan peningkatan sebanyak hampir 30 peratus berbanding pada tahun sebelumnya. – KOSMO! ONLINE