REMBAU – Lima buah kedai di Medan Selera Kendong, di sini, terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Penolong Penguasa Bomba, Ahmad Hafiz Mat Junoh berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 5.16 pagi dan turut dikejarkan ke lokasi ialah pasukan bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi didapati benar berlaku kebakaran membabitkan lima gerai makan dengan ukuran keseluruhan 50 meter x 20 meter persegi.
“Makluman awal diterima dari pengguna jalan raya yang kebetulan melalui lokasi tersebut dan melihat asap berkepul-kepul keluar dari premis tersebut.
“Dalam kebakaran ini, dua unit gerai terbakar 100 peratus, manakala, tiga lagi gerai dianggarkan terbakar sekitar 80 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Ahmad Hafiz lagi, punca kebakaran dan jumlah kerugian bagaimanapun masih lagi dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE