PETALING JAYA – Gara-gara tidak mendapat ‘tepi kek’ (lebihan pada kek) secara percuma, seorang pelanggan cuba membuat provokasi kepada peniaga di media sosial.
Menurut pelanggan, peniaga tersebut tidak menepati janji kerana tidak memberi ‘sample’ kek mahupun ‘tepi kek’ seperti yang dijanjikan kepadanya.
Bagaimanapun, peniaga yang dikenali sebagai Amenda Leckers menafikan pihaknnya tidak menepati janji seperti dakwaan pelanggan tersebut.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Amenda Leckers berkata, ‘sample’ atau tepi kek percuma itu hanya diberikan pada tarikh dan waktu yang telah ditetapkan.
“Ade je yang cuba datang awal nak mintak tepi kek itu memang saya tak bagi sebab dah janji nak bagi pada tarikh yang dijanjikan. Kalau saya bagi sebelum tarikh yang dijanjikan kesian pada yang beratur untuk dapatkan tepi kek itu.
“Tetapi ada juga yang tidak dapat tepi kek sampai nak ‘provoke’ pekerja kedai ini. Tolonglah bertamadun, anggap jelah kalau tarikh tu tak dapat bukan rezeki.
“Kadang ada juga yang mesej kata malulah nak beratur setakat nak tepi kek. Kalau malu jangan ambil, senang, tak ada saya nak bagi ikut pintu belakang,” tulisnya.
Susulan perkongsian tersebut rata-rata netizen kecewa dengan tindakan pelanggan tersebut yang cuba mencetus provokasi dengan perkara remeh.
“Pada saya tak perlu marah pada tuan punya kek, dia nak bagi je pun, ada lebih nak buanh sayang. Ada rezeki dapatlah merasa tak perlu marah macam tak pernah makan kek,” tulis Saleha Abdullah.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Nurul Shazrina Nuryana Jainuddin.
“Macam-macam perangai manusia sekarang, tepi kek pun nak provoke, betullah sesetengah manusia tak pernah bersyukur,” katanya. – KOSMO! ONLINE