SEBERANG PERAI – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menasihatkan warga pendidik supaya menggunakan saluran yang betul dalam mengutarakan kritikan dan pandangan bagi memastikan isu berbangkit dapat diselesaikan dengan baik.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) meraikan kritikan yang diterima malah amat memerlukan input daripada guru-guru yang bertugas dalam mendidik anak-anak.
Katanya, beliau berpandangan bahawa amaran tidak perlu dikeluarkan, namun pada masa sama kritikan yang mahu dilontarkan itu mestilah dilakukan menerusi saluran yang tepat.
“Jadi, teguran yang saya sebut itu adalah teguran untuk semua, kalau hendak bagi amaran pun, buatlah atas perkara yang betul dan jika nak kritik pun, gunalah saluran yang betul.
“Kita mendengar malah mahu input daripada guru-guru namun saya fikir, guna saluran yang betul dan adab yang betul bagi memastikan ruang untuk kritikan konstruktif ini sentiasa ada di KPM,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina di Dewan Serbaguna Jawi, di sini hari ini.
Sebelum ini, seorang guru pendidikan khas dilaporkan berkongsi mesej terbuka dan pandangan peribadinya di Facebook mengenai keluhan dihadapi guru yang mengajar Murid Berkeperluan Khas (MBK).
Hantaran guru itu ditujukan khas buat KPM empat hari lalu, malah turut memetik nama (tag) akaun Facebook Menteri Pendidikan itu.
Menerusi mesej terbuka itu, guru berkenaan mahu Menteri Pendidikan dan KPM mengutamakan kepentingan dan kebajikan guru serta murid ketika memutuskan apa-apa dasar utama pendidikan.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menegaskan tidak berlaku sebarang isu diskriminasi terhadap pelajar dalam program bengkel pembelajaran sebuah sekolah di Johor yang tular, baru-baru ini.
“Kita sudah selesaikan secara baik sebenarnya dan sudah ada perbincangan antara pihak-pihak berkaitan untuk tidak memanjangkan isu ini.
“Tumpuan utama sekarang adalah para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan dan kita mahu anak-anak ini tidak diganggu bagi membolehkan mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya.
“Walau bagaimanapun, ingin saya ulang bahawa KPM tidak akan bertolak ansur sekiranya perkara seumpama ini berulang lagi,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE