KEINGINAN manusia terhadap hiburan tidak akan pernah putus walau dunia sedang tenat dilanda krisis.
Jadi, jika ada yang kata, ‘langit sudah mahu runtuh, tetap masih orang berpusu-pusu hendak menyaksikan konsert, itu bukan tabu’.
Pentingnya hiburan sama seperti naluri semula jadi orang perempuan berbelanja untuk persiapan raya, baju dan alat solek.
Sabtu lalu contohnya, ketika masih ada yang merungut soal harga makanan, telur tak ada atau baju sekolah anak, berapa ramai pula yang sanggup membayar tiket dan bersesak di konsert AR Rahman di Stadium Bukit Jalil.
Jumlah 60,000 peminat muzik memenuhkan sebuah konsert di stadium di Malaysia bukan kecil.
Dalam lautan penonton tersebut, penulis percaya tidak semuanya benar-benar berduit, pasti ada yang berdikit-dikit belanja lain semata-mata mahu merasai suasana konsert penyanyi legenda dunia Bollywood dan Kollywood itu.
Orang kita memilih hiburan berdasarkan kemampuan, faktor sosiologi budaya, kawan-kawan juga kecenderungan.
Suka filem, muzik, konsert, pergi tengok. Suka Bollywood, Kollywood, K-pop, K-drama, sinetron atau drama Melayu, sila pilih, tiada paksaan.
Dalam konteks hari ini, budaya ikut-ikutan tidak mahu terlepas trend tular atau mahu tahu apa sahaja yang tular sangat sigfinikan dalam memastikan produk hiburan itu berjaya dijual dan dinikmati ramai orang, bukan sekelompok peminat tegar sahaja.
Satu perkara yang diyakini semua, hiburan yang baik haruslah dibikin secara terbaik, namun faktor penolaknya adalah publisiti. Untuk zaman sekarang, adakalanya publisiti menjatuhkan lebih berjaya daripada publisiti positif.
Tengok sahaja filem, Duan Nago Bogho yang dicanang hebat oleh pengikutnya.
Tak dinafikan filem karya sutradara yang fenomena dengan imej Pok Ya Cong Codei itu sangat asli dengan aksi dan sentimental seninya, namun kutipan tidaklah meroket juta-juta seperti Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.
Baru sehari dua masuk panggung terus dikritik keras sehingga bukan peminat filem Melayu pun masuk panggung menilai baik buruk karya Syamsul Yusof itu.
Dalam soal ini, tak pasti sama ada filem Pulau yang kecoh isu halal haram dan moral kelak bakal dapat sambutan hebat saat masuk panggung. Yang pasti, Pathaan dengan kemunculan semula Raja Bollywood, Shah Rukh Khan selepas empat tahun sepi dari panggung tetap juara.
Desaklah, bakarlah poster dan gambarnya tanda boikot atas sensitiviti agama, namun sehari sahaja ditayangkan, kegilaan peminat global (mungkin impak daripada tarian dan lagu tular Jhoom Jo Pathaan dalam TikTok dan Reels), kutipan hari pembukaan Pathaan pada 25 Januari lalu sahaja sudah mencatat lebih RM28 juta.
Jadi, nak tengok Duan atau Pathaan? Pelakon dan skala dua naskhah berkenaan memang tak sama level, tetapi sebagai penikmat hiburan tak salah tengok kedua-duanya.