SUNGAI PETANI – Penduduk Kampung Sungai Gelam di Merbok di sini, gempar dengan kemunculan tiga ekor buaya di anak sungai dekat kediaman mereka sejak Khamis lalu.
Reptilia berukuran antara satu hingga tiga meter panjang itu dilihat berenang dan muncul di permukaan air selain menjadikan beberapa tempat di tebing anak sungai di situ untuk berjemur.
Penduduk, Adam Othman, 54, berkata, dia sempat merakam video kemunculan seekor buaya yang sedang berjemur di tebing berdekatan kebun kelapa sawit tengah hari kelmarin.
“Ketika itu saya bersama beberapa rakan sekampung sedang meronda untuk melihat pukat yang dipasang di kawasan ban sungai di situ.
“Sebaik tiba di kawasan kelapa sawit kami, terkejut melihat seekor buaya berjemur di tebing. Reptilia itu terus berenang sebaik menyedari kehadiran kami sebelum menghilangkan diri ke dalam anak sungai itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Turut berkongsi pengalaman kali pertama melihat buaya di kawasan itu ialah pasangan suami isteri, A. Roslan Arshad, 50, dan Siti Khalijah Mohamad Yatim, 49.
“Ketika itu kami sedang mengail sebelum seekor buaya sepanjang satu meter muncul, isteri terus campak batang kail dan saya sempat merakam video,” katanya.
Mat Ripin Mat Piah, 49, pula berkata, dia pernah ternampak buaya berjemur di situ beberapa kali.
“Reptilia itu baru saja berada di sini kerana selama saya memasang pukat dan mengail, tak pernah pula ia muncul,” katanya.
Menurut Mat Ripin, dia bimbang mengenai keselamatan orang ramai walaupun belum ada lagi kejadian orang kampung disambar buaya.
Seorang penduduk, Hairy Mad Saad, 35, berkata, kehadiran buaya ke kawasan itu dipercayai semasa kejadian air pasang besar yang menyebabkan banjir kilat di kawasan itu seminggu lalu.
“Anak sungai ini mempunyai pintu air dan bersambung dengan Sungai Merbok dan reptilia ini dipercayai terperangkap di sini,” katanya.
Sehubungan itu, penduduk berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Kedah mengambil tindakan segera bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku pada masa akan datang.