KULIM – Tanggungjawabnya sebagai anak sulung membuatkan Che Norazimah Mohd. Radzi, 27, sentiasa berusaha mencari pekerjaan bagi menyara 12 ahli keluarga lain yang tinggal bersama di Kampung Sungai Pasir Luar, Terap di sini.
Bagaimanapun, sehingga kini, ibu kepada tiga orang anak berusia antara enam bulan hingga tujuh tahun itu masih belum mendapatkan pekerjaan tetap membuatkan dia buntu dalam memastikan setiap hari ada hidangan buat semua.
Menurut Che Norazimah, selain mereka empat beranak, rumah itu turut didiami ibu bapanya, Mohd. Radzi Sulung, 54, dan ibunya, Che Yati Che Jan, 47, serta tujuh adiknya berusia setahun dua bulan hingga 21 tahun. Suami Che Norazimah kini bekerja sambilan di Seberang Perai, Pulau Pinang.
“Sebelum ini saya bekerja di sebuah kedai makan di Sungai Kob, namun terpaksa berhenti kerana anak bongsu sering sakit. Bapa pula ambil upah mengait buah kelapa dan melakukan kerja kampung dibantu tiga adik lelaki dengan pendapatan kurang RM500,” katanya.
Tambahnya, kehidupan mereka 13 orang bergantung kepada bantuan kewangan RM700 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sementara rumah yang kami tinggal ini juga sumbangan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah.
“Apa yang ada di dapur itulah yang menjadi makanan kami sekeluarga,” jelasnya sebak.
Katanya, proses mencari kerja semakin sukar apabila mereka hanya mempunyai dua buah motosikal lama dan kenderaan itu digunakan bapa untuk bekerja dan sebuah lagi untuk menghantar serta mengambil mereka yang bersekolah.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Che Norazimah di talian 017-5894872 atau melalui akaun bank Maybank 158211787180.