KOTA TINGGI – Mangsa banjir di Jalan Balau, Taman Desaru Utama (TDU) di sini, mengalami kerugian RM10,000 hingga RM15,000 susulan banjir yang melanda kawasan perumahan mereka sejak Selasa lalu.
Mangsa banjir, Nurul Syuhada Md. Saad, 31, yang tinggal di Jalan Balau 10, TDU berkata, dia hanya pasrah apabila melihat perkakas elektrik seperti peti ais dan perabot terapung-apung dalam kejadian banjir di rumahnya.
“Banjir kali ini paling teruk. Tidak ada apa yang boleh diselamatkan, air naik dengan terlalu cepat. Peti ais, tilam dan almari baju semua kena buang.
“Hanya dokumen sempat diselamatkan. Ekoran banjir ini saya alami kerugian kira-kira RM15,000,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Seorang lagi mangsa, Mohd. Azmee Zainal Abidin, 37, juga mengalami kerugian antara RM10,000 hingga RM15,000 apabila perabot dan peralatan elektrik termasuk dua motosikal ditenggelami air.
Dia yang bekerja di Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia di Pengerang dekat sini mendakwa, banjir berlaku akibat keadaan perparitan yang tidak sistematik.
“Air dari parit di Taman Sri Penawar bersebelahan Taman Desaru Utama menjadi punca. Air dari parit di Taman Sri Penawar belum sempat masuk ke saluran utama tetapi masuk ke taman ini dulu dan mengakibatkan banjir,” katanya.
Bagi Hatta Jaafar, 38, dari Jalan Balau 2, TDU pula berkata, dia sudah dibenarkan pulang ke rumah hari ini ekoran keadaan banjir yang pulih.
Katanya, kejadian banjir berlaku paling buruk dan meminta agar sistem perparitan dari Taman Sri Penawar diubah iaitu tidak berkongsi atau masuk ke parit Taman Desaru Utama sebaliknya dilencongkan terus ke saluran utama sebelum masuk ke laut.
“Tolonglah tengok keadaan ini, kami penduduk yang susah,” jelasnya.