fbpx

Ne-Yo lincah menghiburkan, masih berbisa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NE-YO membuktikan dirinya kekal ampuh dan diingati ramai apabila konsertnya di Kuala Lumpur minggu lalu dibanjiri hampir 3,000 peminat.

NAMANYA barangkali tidak sepanas sewaktu zaman auranya memuncak sebagai bintang R&B antarabangsa sekitar 2007, namun kualiti nyanyian dan muzik penyanyi itu ternyata masih berbekas.

Perihal tersebut terbukti dengan kedatangannya ke Kuala Lumpur bagi merealisasikan konsert Ne-Yo Live In Malaysia di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Berstatus ‘full house’, persembahan Ne-Yo atau nama sebenarnya, Shaffer Chimere Smith sangat menghiburkan dan berbisa.

Lincah, bertenaga

Sekitar pukul 8 malam, seramai 2,900 audiens melihat sendiri aksi lincah dan Ne-Yo, 44, yang dibawakan khas oleh penganjur acara, Hitman Solutions dan Happymoon.

Selain gema lagu-lagu klasik, dewan Dewan Plenary turut menyaksikan keasyikan penonton yang tidak lokek melaungkan suara masing-masing. Interaksi Ne-Yo dengan peminat antara yang menjadikan persembahannya begitu berbekas.

HAMPIR 2,900 penonton di Dewan Plenary, KLCC berpuas hati dengan kualiti persembahan yang ditampilkan Ne-Yo sepanjang konsert. – HITMAN SOLUTIONS

Beberapa kali Ne-Yo mencampakkan kain lap peluh ke arah audiens, sekali gus membuatkan siapa sahaja yang hadir seperti ‘histeria’.

Nuansa persembahan dimulai Ne-Yo dengan persembahan bertenaga menyanyikan lagu paling hit, Miss Indepen­dent, disusuli She Knows, Because of You, One In A Million dan banyak lagi.

Kemudian, dia mempamerkan vokal mengasyikkan melalui segmen akustik mendendangkan lagu Do You, Mad dan You Should Let Me Love You, diikuti beberapa segmen lain memberi kepelbagaian mood persembahan sepanjang konsert.

Selama durasi sekitar 80 minit, penonton seolah-olah terpaku menyaksikan lagaknya.

Hal ini kerana, tiada momen lompong daripada Ne-Yo. Dia membawakan bukan sahaja lagu nyanyian sendiri bahkan hasil ciptaan artis terkemuka lain. Di situlah sisi berbeza Ne-Yo sebagai penulis dan komposer berbakat.

Main lagu ciptaan Rihanna, Beyonce

Tidak ketinggalan memainkan lagu ciptaannya untuk penyanyi lain seperti Take A Bow (Rihanna) dan Irreplaceable (Beyonce).

Pada segmen terbabit, Ne-Yo mem­biarkan audiens terpekik terlolong menyanyi dua hit ciptaan tersebut.

“Kalian sudah dengar muzik saya sekurang-kurangnya 16 tahun. Sut saya sudah basah. Jadi, saya tanggalkannya,” katanya ketika melakukan persembahan pada penghujung nuansa konsert.

Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal menyifatkan konsert Ne-Yo sebagai satu pengalaman luar biasa.

SELAIN untaian lagu klasik, Ne-Yo juga menyanyikan lagu baharunya yang dipetik daripada album Self Explanatory seperti Handle Me Gently.

“Luar biasa! Ne-Yo menjangkaui semua ekspektasi dengan memberikan persembahan penuh energetik dan mengimbau nostalgia peminat muzik R&B pada awal tahun 2000 yang turut menyanyikan bersama lagu-lagu ke­gemaran mereka ketika zaman muda-muda dahulu.

“Meskipun dewan konsert menyediakan tempat duduk, ini bukanlah penghalang bagi penonton untuk turut berdiri dan bergembira sepanjang berlangsungnya persembahan,” katanya.

Tempatkan media

Sungguhpun begitu, barangkali untuk penambahbaikan acara konsert Hitman Solutions akan datang, tempat duduk media bertugas harus dititikbe­ratkan.

Jika wartawan terpaksa berdiri sepanjang konsert berlangsung, adalah menjadi satu perkara bersifat adil dan saksama untuk meletakkan wakil media yang dijemput di satu kelompok, bukan bercampur dalam keramaian. Ini bukan soal status tetapi nilai sebuah profesion.

Kendatipun majlis hiburan dan lua­rannya nampak menyeronokkan, media tetap pulang dengan tugasan yang belum bersisa, masih perlu ‘berperang’ dengan ulasan seimbang. Apapun, pe­ngalaman konsert Ne-Yo tetap hebat dan dia, masih berbisa!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI