BACHOK – Fenomena air pasang besar yang berlaku ketika ini mengundang kepada kemunculan ubur-ubur api yang berwarna biru atau spesies Physalia Physalis di kawasan pesisir Pantai Irama di sini sejak beberapa hari lalu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Bachok, Leftenan (PA) Mohd. Khairi Mat Hussin berkata, keadaan ombak besar dan laut bergelora tidak sesuai untuk sebarang aktiviti laut termasuk mandi pantai dan memancing di atas batu penghadang ombak.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan anggota APM menemui ubur-ubur yang beracun dan berbahaya sekiranya terkena pada kulit pengunjung.
“Fenomena air pasang besar kali ini berlainan apabila ubur-ubur api biru pertama kali dijumpai di pesisir Pantai Irama sejak kelmarin. Sebelum ini, anggota APM hanya menemui ubur-ubur berwarna merah jambu dan putih.
“Anggota APM telah menjalankan tugasan mengesan bangkai ubur-ubur yang mungkin terdampar di sepanjang pusat peranginan itu di kawasan tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Khairi berkata, setakat ini, tiada pengunjung yang dilaporkan terkena racun ubur-ubur itu, namun usaha meningkatkan kesedaran mengenai kewujudan haiwan tersebut dijalankan secara berterusan.. – KOSMO! ONLINE