PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan cuaca signifikan hari ini di beberapa kawasan di seluruh negara.
MetMalaysia dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, berdasarkan analisis model-model cuaca, terdapat luruan monsun yang berlaku di rantau negara dijangka sehingga 2 Februari depan.
“Keadaan ini berpotensi menghasilkan hujan berterusan di timur Semenanjung dan timur Sabah dalam tempoh tersebut.
“Sehubungan itu, MetMalaysia telah mengemaskini amaran hujan berterusan di kawasan berkenaan berkuat kuasa sehingga 30 Januari ini,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang juga dijangka berlaku di pedalaman dan barat Semenanjung serta barat dan tengah Sarawak pada sebelah petang dan malam dalam tempoh ramalan.
“Amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan telah dikemas kini dan berkuat kuasa sehingga 31 Januari.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE