LIMA, Peru – Sekurang-kurangnya 24 orang terkorban apabila sebuah bas membawa seramai 60 penumpang terjunam dari sebuah tebing ke dalam gaung di barat laut Peru, kata polis.
Bas milik syarikat Qorianka Tours itu dalam perjalanan dari Lima ke Tumbes yang terletak di sempadan Ecuador, sebelum terbabas di sebatang jalan dekat bandar Organos.
Polis di lokasi kejadian memberitahu media tempatan bahawa kemalangan itu berlaku di lokasi berbahaya dikenali sebagai ‘Devil’s Curve’, tetapi punca nahas masih dalam siasatan.
Sejumlah penumpang yang cedera dibawa ke hospital di El Alto dan Mancora iaitu lokasi peranginan yang terletak kira-kira 1,000 kilometer ke utara Lima.
Sebilangan penumpang bas terbabit dilaporkan berasal dari Haiti, tambah polis.
Bilangan pendatang asing Haiti di Peru telah meningkat, walaupun keadaan mangsa dari negara tersebut tidak jelas.
Beberapa penumpang dilaporkan tercampak dari bas, manakala ada yang terperangkap di dalam kenderaan itu semasa kejadian. – AFP