PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden serangan bersenjata ke atas Kedutaan Besar Azerbaijan di Teheran, Iran kelmarin yang menyebabkan seorang maut.
Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, kerajaan Malaysia mengulangi pendirian menolak sebarang bentuk keganasan dan menyeru dalang kejadian dibawa ke muka pengadilan.
“Malaysia turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa serta buat kerajaan dan rakyat Azerbaijan atas kejadian tragik di pejabat diplomatik itu,” katanya.
Media antarabangsa kelmarin melaporkan seorang lelaki bertindak menyerbu canseri kedutaan tersebut dan kemudian menyerang dengan senjata api jenis automatik model AK-47.
Ketua Perkhidmatan Keselamatan di premis itu, Leftenan Pertama Orkhan Asgarov terbunuh manakala dua pengawalnya cedera ketika diserang pada pukul 8 pagi waktu tempatan.
Penyerang itu yang kemudian berjaya ditahan polis Teheran dikenal pasti sebagai Yasin Hosseinzadeh, warga Iran sendiri namun motif kejadian tersebut lebih kepada isu peribadi.-KOSMO! ONLINE