Oleh ALICIA JOHNY KUEH
KUCHING- Seorang lelaki berusia 58 tahun ditemui mati setelah dipercayai terjun dari tingkat lima Wisma Saberkas di sini, pada petang semalam (20 Okt).
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani mengesahkan kejadian tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sekitar pukul 10.50 malam.
“Kami telah menerima maklumat dari pengawal keselamatan Wisma Saberkas yang memaklumkan penemuan mayat di lorong belakang Wisma Saberkas sekitar pukul 5 petang.
“Berikutan itu, sepasukan polis telah ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan. Turut hadir adalah pegawai perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya.
Siasatan awal di tempat kejadian telah menjumpai mayat seorang lelaki berlumuran darah di bahagian kepala terbaring di tempat kejadian.
“Pemeriksaan bersama pegawai perubatan mendapati si mati telah meninggal dunia dan kecederaan parah adalah di bahagian kepala dan kaki si mati.
“Si mati dipercayai terjun dari Tingkat 5 Bangunan Wisma Saberkas,” tambahnya.
Mayat telah dibawa ke HUS untuk bedah siasat dan polis masih menyiasat kes tersebut, yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. -K! ONLINE