KOTA KINABALU – Seorang lelaki maut manakala isteri parah apabila kereta dinaiki dipercayai terbabas sebelum terjatuh dari laluan bertingkat (flyover) di Jalan Kepayan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 malam itu, mangsa lelaki berusia 51 tahun tersangkut pada laluan bertingkat berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya berumur 35 tahun yang dipercayai terjatuh bersama kendera ditemui parah dan di hantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kita dapati memang terdapat kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga di lokasi yang dilaporkan.
“Kereta terbabit dipercayai terbabas sendiri sebelum melanggar tembok jalan dab terjatuh ke bawah laluan bertingkat KKIA.
“Mangsa lelaki disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan isterinya yang parah dibawa menaiki ambulans ke HQE II,” katanya ketika dihubungi pagi ini.
Habibi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE