MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menghamburkan pujian terhadap barisan pemainnya apabila berjaya menyingkirkan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal daripada saingan Piala FA musim ini.
Pada aksi pusingan keempat yang berlangsung di Stadium Etihad awal pagi semalam, The Citizens memastikan kemenangan menjadi milik mereka selepas pemain pertahanan, Nathan Ake meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-64.
Walaupun gembira dengan kemenangan itu, namun Guardiola tetap berwaspada dengan ancaman The Gunners memandangkan kedua-dua pasukan masih belum membuat perhitungan dalam aksi Liga Perdana.
“Pemain-pemain City sangat gembira dengan kemenangan ini. Walaupun ia bukanlah saingan Liga Perdana tetapi ia sangat penting kerana kami berjaya menewaskan dua pasukan besar, iaitu Chelsea dan Arsenal.
“Perlawanan (Liga Perdana) di Stadium Emirates nanti pastinya sangat berbeza berbanding hari ini (semalam). Mikel (Arteta) kurang melakukan penggiliran pemain dalam saingan liga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap pemain-pemainnya akan terus memberikan fokus 100 peratus memandangkan mereka akan mengharungi pertemuan penting dengan Tottenham Hotspur bagi aksi liga 6 Februari depan.
“Sekarang kami ada masa rehat beberapa hari sebelum perlawanan seterusnya. Sudah tentu saya akan siapkan pasukan seperti mahu beraksi di perlawanan akhir menjelang pertemuan dengan Spurs nanti,” ujar Guardiola. – AGENSI