KUALA SELANGOR – Gara-gara mahu mengejar upah tinggi membuatkan empat nelayan warga asing yang digajikan pemilik bot kelas B1, menangkap ikan di lokasi tidak dibenarkan ditahan disekitar perairan daerah ini semalam.
Kesemua mereka yang merupakan warga Myanmar termasuk dua daripadanya pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara 32 hingga 39 tahun ditahan kira-kira pukul 10.57 malam.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten V. Siva Kumar berkata, siasatan mendapati tekong dan kru warga asing itu diberi dalam bentuk komisen bergantung kepada jenis serta jumlah hasil ikan yang berjaya mereka tangkap.
“Turut dirampas adalah kira-kira 30 kilogram ikan campur hasil penangkapan mereka. Kebiasaanya mereka mampu mendapat upah sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sebulan bergantung hasil tangkapan ikan.
“Keempat-empat warga asing ini telah memasuki negara ini sejak dua tahun lalu menggunakan pas lawatan sosial,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Siva berkata, semakan mendapati pemilik bot itu menjalankan aktiviti menangkap ikan sejak tujuh tahun lalu dan kesemua nelayan serta bot itu dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE