LONDON – Pelakon Britain, Rege-Jean Page dinobatkan lelaki paling kacak di dunia kerana mempunyai ketepatan wajah 93.65 peratus di bawah nisbah Golden Ratio of Beauty, lapor laman berita Wion News semalam.
Page, 34, meraih populariti bukan sahaja kerana memainkan watak Duke of Hastings, Simon Bassett dalam siri televisyen Bridgerton pada musim pertama, malah penampilannya juga menarik tumpuan ramai.
Teknik yang digunakan dalam penelitian wajah itu diperkenalkan sejak zaman purba lagi dan diguna pakai untuk mengukur tahap kesempurnaan fizikal seseorang.
Selepas Page, pelakon Chris Hemsworth menduduki tempat kedua dengan 93.53 peratus dan Michael B. Jordan dengan 93.46 peratus. Penyanyi, Harry Styles pula berada di tempat keempat dengan 92.30 peratus.
Senarai 10 wajah lelaki paling kacak itu disusun oleh seorang pakar bedah kosmetik profesional dari klinik Harley Street, Dr. Julian De Silva menggunakan alat pemetaan muka digital.
Bercakap tentang kajian baharu itu, De Silva berkata: “Teknik pemetaan komputer serba baharu ini membolehkan kami menyelesaikan beberapa misteri tentang apa yang menjadikan seseorang cantik secara fizikal, malah teknologi ini berguna semasa merancang pembedahan pesakit.
”Rege menang kerana wajahnya yang cantik dan mata coklat yang menawan. Dia mendapat markah tertinggi untuk jarak mata dan kedudukan matanya.
“Bibirnya yang berbentuk sempurna juga mendapat markah tinggi dan satu-satunya markah lebih rendah sedikit ialah lebar dan panjang hidungnya,” jelas De Silva. – Agensi