KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan kini sedang menunggu laporan berkaitan kerosakan struktur landasan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Bandaraya.
Menterinya, Anthony Loke berkata, kerja-kerja penilaian sedang dibuat pihak jurutera untuk melihat sama ada ia selamat untuk beroperasi semula dan dijangka siap pada 30 Januari depan.
“Jadi kita masih menunggu laporan daripada pihak Rapid Rail dan juga jurutera. Saya tak dapat memberikan jaminan sekarang.
“Kita akan buat keputusan dan pengumuman yang lanjut selepas terima laporan. Mungkin dalam sehari dua lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), di sini hari ini.
Tambah Anthony, pihaknya akan memberikan ruang kepada jurutera-jurutera untuk melihat kekuatan struktur tersebut.
“Walaupun saya faham penutupan stesen itu memberikan gangguan kepada orang ramai. Tetapi saya berharap para penumpang dapat memahami bahawa kita mesti utamakan keselamatan. Itu yang paling penting,” ujarnya.
Justeru, beliau menyarankan agar pengguna LRT laluan Ampang agar merancang perjalanan mereka untuk hari Isnin yang akan datang.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan perkhidmatan LRT laluan Ampang mengalami gangguan dan kelewatan akibat penjajaran landasan yang ‘kinked’ (bengkok) berhampiran stesen LRT Bandaraya.- KOSMO! ONLINE.