h: Oleh MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
PELUMBA muda negara, Khairul Idham Pawi membuat keputusan mengejutkan apabila meninggalkan pasukan Petronas Sprinta Racing pada akhir tahun 2020 selepas semusim beraksi dalam saingan kelas Moto3 musim ini.
Khairul Idham Pawi atau dikenali sebagai Super KIP kembali ke saingan Moto3 musim ini selepas tiga tahun dalam saingan Moto2. Pada musim 2019, dia hanya sempat beraksi tiga perlumbaan pada musim 2019 selepas jari kelingkingnya hancur ketika beraksi pada GP Sepanyol tahun lalu.
Pada musim ini, impian KIP untuk tampil cemerlang dalam kelas Moto3 sedikit terganggu ekoran kecederaannya berulang dan terpaksa melakukan pengorbadan besar melakukan
pembedahan membuang jari kelingkingnya selepas terjatuh ketika sesi latihan bebas Grand Prix (GP) Republik Czech pada 8 Ogos lalu.
Akibat insiden tersebut KIP masih gagal untuk mengutip sebarang mata dan menduduki kedudukan dua tercorot perlumbaan kini hanya berbaki empat perlumbaan sebelum tamat.
“Dua musim terakhir ini sangat sukar, dengan kecederaan tangan yang menimpa saya. Saya gembira menjadi sebahagian daripada pasukan Petronas Sprinta Racing.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang dalam pasukan, semua kru kerana telah membantu saya selama ini dua tahun, dalam masa baik dan buruk.
“Saya mendoakan kejayaan pasukan pada masa akan datang. Sudah pasti saya mahu beraksi dan saya akan berusaha untuk mencari pilihan terbaik dalam karier perlumbaan saya. Saya akan bekerja keras menunjukkan potensi saya. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya selama ini,” kata KIP dalam satu kenyataan semalam.
KIP merupakan pelumba berbakat negara apabila menjadi anak Malaysia pertama menjuarai saingan MotoGP selepas muncul juara Moto3 2016 di Grand Prix (GP) Argentina dan Jerman bersama pasukan Honda Team Asia. -K! ONLINE