TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mewujudkan Pasar Budaya yang menerapkan elemen pendidikan keusahawanan dan kemasyarakatan di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di sini.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, Pasar Budaya yang bermula hari ini sebelum ini dijenamakan semula daripada Pasar Antik yang diwujudkan oleh Institut Peradaban Melayu (IPM) pada Oktober tahun lalu.
“Ia (Pasar Antik) bertujuan memberi peluang kepada warga UPSI dan masyarakat setempat serta pencinta barangan antik membelinya sebagai koleksi peribadi.
“Namun, ia dijenamakan semula tahun ini dikenali sebagai Pasar Budaya bagi mengetengahkan pengalaman pembelajaran secara tidak formal kepada pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Md. Amin, Pasar Budaya menerapkan pembelajaran merangkumi kebudayaan Melayu dengan membolehkan pengunjung melihat barangan antik, buku, majalah, produk makanan dan buah-buahan tempatan, mengunjungi Muzium Pendidikan Nasional serta 22 buah lokasi tarikan pelancongan yang ada di sekitar kampus itu.
“Saya yakin ia akan menjadi tarikan baru di UPSI, malah Tanjung Malim selain berupaya mempromosikan Muzium Pendidikan Nasional kepada masyarakat khususnya kepada pencinta barangan antik di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, Pasar Budaya juga dapat memartabatkan elemen sejarah dan tradisi merangkumi unsur kesenian, kebudayaan dan warisan selain mewujudkan rangkaian kerjasama di antara pegunjung, ahli akademik, pelajar, dan peniaga barangan antik melalui penglibatan aktiviti yang dilaksanakan.
Sementara itu, pengarah IPM, Prof Dr. Tajul Shuhaizam Said berkata, peniaga di Pasar Budaya termasuklah peniaga tempatan yang bernaung di bawah FAMA, peniaga barangan antik seluruh negara, penggemar barang antik dan pencinta sejarah, peniaga sekitar daerah Muallim serta warga UPSI.
Pasar Budaya, katanya, memberi peluang kepada masyarakat untuk merasai pembelajaran secara tidak formal di UPSI, malah membantu peniaga tempatan untuk menjana pendapatan.
“Pasar Budaya ini juga memberi pendedahan dan peluang kepada pelajar dan kakitangan UPSI untuk melibatkan diri di dalam bidang keusahawanan selain mengetengahkan lokasi dan tarikan pelancongan di sekitar Kampus bersejarah, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
“Saya berharap Pasar Budaya ini menjadikan UPSI sebagai sebuah pusat pelancongan budaya dan pusat pendidikan yang berkaitan budaya melalui pembelajaran secara tidak formal merangkumi aspek kebudayaan, sejarah dan permuziuman,” katanya.
Pasar Budaya diadakan pada setiap Sabtu minggu terakhir setiap bulan antara pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari di pekarangan Bangunan IPSI (tapak food truck), Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. – KOSMO! ONLINE.