fbpx

Kerja baik pulih capaian aplikasi KPM sedang giat dijalankan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa tindakan penambahbaikan pada peringkat rangka kerja (framework) pangkalan data dan pengaturcaraan beberapa aplikasi utama mereka telah dilaksanakan bagi meningkatkan kestabilan capaian.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, ia adalah susulan daripada isu gangguan melibatkan beberapa aplikasi iaitu Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) dan Sistem Pengurusan Identiti (idMe) yang merupakan sistem Daftar Diri Tunggal bagi setiap pengguna aplikasi KPM.

“Gangguan capaian sistem telah mula dikesan pada 15 Januari lalu disebabkan trafik capaian yang amat tinggi daripada pengguna sistem iaitu para guru yang sedang melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara online.

“Langkah tindakan pemulihan interim pada pangkalan data serta sistem aplikasi terlibat telah diambil dan telah dapat mengatasi salah satu isu yang dikenal pasti iaitu konflik capaian di antara idMe dan modul aplikasi MOEIS namun begitu gangguan kepada sistem dikesan berlaku semula secara berulang,” kata kenyataan itu hari ini.

Tambah KPM, sehingga hari ini, prestasi capaian adalah semakin baik namun ia masih belum pulih sepenuhnya dan pemantauan prestasi capaian sistem serta tindakan pemulihan masih diteruskan secara rapat bagi memastikan isu gangguan dapat diatasi secara menyeluruh.

“Para guru juga mempunyai tempoh sehingga 10 Mac depan untuk melaksanakan aktiviti perekodan dan pelaporan PBD sebagaimana yang termaktub dalam Jadual Kerja PBD Akhir Sesi Akademik 2022/2023.

“KPM memahami kesulitan yang dihadapi oleh para guru dan memohon maaf atas masalah tersebut serta akan memastikan supaya prestasi capaian aplikasi KPM adalah di tahap yang cemerlang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI