fbpx

Dua ibu hamil Orang Asli ada komplikasi diterbangkan ke hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua wanita Orang Asli dari Kampung Orang Asli Puchor berjaya dihantar ke HEBHK. Kluang selepas berhadapan komplikasi kandungan menggunakan penerbangan Medical Evacuation (MEDEVAC) hari ini.

KLUANG – Dua wanita Orang Asli di Kampung Orang Asli Pucur yang berhadapan dengan komplikasi kandungan berjaya dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang melalui penerbangan ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd. Rizal Buang berkata,sebelum itu HEBHK telah menerima permohonan bagi membawa keluar dua pesakit, Sofia Semanggar,32, dan Sandora Anam, 39.

“Operasi khidmat khas Medical Evacuation (MEDEVAC) yang dilaksanakan tersebut dengan menggunakan pesawat August AW139.

“Bagaimanapun sebelum berjaya dibawa ke hospital, salah seorang pesakit iaitu Sofia enggan dibawa ke hospital kerana takut mendapatkan rawatan,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Rizal lagi, selepas sesi pujuk memujuk daripada pasukan menyelamat dan ahli keluarga hampir 30 minit, akhirnya Sofia serta Sandora berjaya diterbangkan dengan selamat.

Ujarnya, Sofia yang mengandung usia 32 minggu mempunyai sejarah bayi pramatang, manakala Sandora mengandung usia 29 minggu perlu dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan kandungan.

“Operasi yang dijalankan bermula pada pukul 9.58 pagi dan tamat pada pukul 11.17 pagi,” katanya.

Tambah Mohd. Rizal lagi, JBPM Johor dengan bantuan Unit Udara JBPM sentiasa komited bagi membantu melaksanakan operasi-operasi khidmat khas melibatkan pesawat dari Unit Udara JBPM samada operasi Medical Evacuation (MEDEVAC), penghantaran Bekalan makanan dan logistik di kawasan terputus hubungan (RESUPPLY) mahupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Negeri Johor. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI