KEMAMAN – Hakisan pantai yang melanda Kampung Geliga Baru di sini terus meruncing dengan dua lagi rumah penduduk musnah disebabkan fenomena air pasang besar dan angin kencang kelmarin.
Dalam kejadian pukul 1 pagi itu meruntuhkan bahagian dapur dua buah rumah berkenaan selain pagar Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas.
Seorang mangsa, Normah Mahmud, 63, berkata, dia hanya mampu menangis sambil memeluk erat tubuh anak lelakinya, Wan Azlam Ramli, 40, apabila menyaksikan dinding dapur rumahnya tiba-tiba runtuh dirempuh ombak.
“Saya ketakutan melihat hampir keseluruhan perabot dan peralatan dapur dihanyutkan arus ombak.
“Sewaktu memeluk anak (Wan Azlam), saya berdoa agar kami terselamat dan tidak dibawa ombak bersama,” katanya ketika ditemui di Kampung Geliga Baru di sini semalam.
Ibu tunggal kepada lima anak tersebut berkata, dia sayu mengenangkan rumah peninggalan arwah suaminya, Ramli Wan Abdullah itu musnah.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Geliga Baru, Wan Ahmad Darus Wan Musa berkata, sebanyak 20 buah rumah penduduk musnah dibadai ombak setiap kali musim tengkujuh sejak 10 tahun lalu.
“Semakin lama hakisan pantai semakin kritikal menyebabkan kami tidak boleh tidur lena setiap kali musim tengkujuh,” katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa disarankan membina benteng pemecah ombak atau memindahkan semua penduduk ke penempatan baharu.