fbpx

Mengilat haruan bersama komuniti Puncak Alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemancing wanita tunggal Snakehead Battle 2.0, Dayang Norrin bersama haruan yang ditangkap menggunakan softfrog.

Haruan atau nama saintifiknya Channa striata, merupakan salah satu spesies daripada keluarga besar Channidae.

Dikatakan, isi dan lendir ikan haruan mempunyai pelbagai khasiat khususnya untuk merawat luka pembedahan selepas bersalin, malah harga haruan hidup mencecah sekitar RM28 sekilogram di pasaran negara ini.

Tidak hairanlah jika ikan haruan sentiasa diburu memandangkan ia mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Pada minggu pertama tahun baharu, penulis berkesempatan menyertai pertandingan tertutup mengilat haruan – Snakehead Battle 2.0 anjuran komuniti Puncak Alam Caster (PAC) di Sungai Yu,

Tanjong Karang, Selangor yang memfokuskan mengilat haruan.

Ini merupakan penganjuran kali kedua, kali pertama sekitar tahun 2020 bertempat di Ijok.

PAC mula ditubuhkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama pada tahun 2020 oleh pengasasnya Azmin Razali (Tamtec) dengan disertai beberapa pemancing yang tinggal di Puncak Alam dan kini keahlian terus bertambah.

Menurut salah seorang ‘orang kuat’ PAC, Muhammad Safuan Yusof, penubuhan PAC bertujuan mengeratkan ikatan ukhuwah antara pemancing di Puncak Alam serta kawasan sekitar. Aktiviti PAC lebih tertumpu kepada teknik mengilat di sekitar kawasan Puncak Alam, namun sesekali akan keluar kawasan.

Untuk Snakehead Battle 2.0, seramai 30 orang pemancing dari PAC, manakala beberapa orang pemancing dari luar termasuk penulis.

Acara dimulakan dengan berkumpul di lokasi pada pukul 7.30 pagi untuk sesi sarapan dan taklimat daripada pihak penganjur. Tepat pukul 8 pagi, semua peserta menuju ke lokasi ban yang berhampiran.

Para peserta Snakehead Battle 2.0 anjuran komuniti Puncak Alam Caster (PAC) bergambar kenangan.

Tidak sampai beberapa minit haruan pertama berjaya dinaikkan oleh Khai Nizam Azaman. Ketika ini, penulis masih lagi mencari kedudukan sesuai untuk mengenal pasti spot yang berpotensi tinggi untuk strike.

Penulis kemudian memilih spot yang bertentangan sebuah pokok rendang dan kelihatan seekor haruan bersaiz ‘sedap’ mengambil oksigen di bawah pohon tersebut.

Faktor air gambut yang berwarna gelap membuatkan penulis memilih gewang jenis softfrog seberat 7 gram berwarna putih.

Balingan terus ke arah rimbunan daun yang mencecah permukaan air terus disambar sang predator.

Lenturan ‘U’ rod ultra-ringan 4-8lb dipadankan dengan mesin kekili menegak mendatangkan sedikit debaran kepada penulis, ini kerana kawasan tersebut dipenuhi pokok kangkung yang menjalar di permukaan air.

Daripada riak kocakan air, penulis mengagak ia bersaiz besar, namun perlawanan berakhir apabila ikan tersebut berjaya memutuskan tali leader dan meloloskan diri ke bawah akar pokok bersama-sama gewang softfrog penulis.

Sifat spesies kepala ular ini yang tidak akan mengambil gewang untuk kali kedua membuatkan penulis berpindah ke satu spot berdekatan yang lebih luas bagi mengelakkan kejadian sama berulang, kali ini penulis menggunakan softfrog seberat 5 gram.

Mujur kali ini penulis berjaya menaikkan ikan haruan ‘curut’, sekali gus menyelamatkan sedikit maruah daripada ‘kumpau’.

Jam 12.30 tengah hari kesemua peserta pulang ke tempat berkumpul untuk sesi penyerahan hadiah.

Tempat pertama telah dimenangi Kamarudin Kamry, manakala Mohd. Fariez Jainan untuk tempat kedua dan ketiga, Adam Hakimi Jamaluddin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI