KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan cabaran pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters selepas melayakkan diri ke pusingan separuh akhir dengan menewaskan wakil China, Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi, gandingan No.6 dunia itu tidak berdepan banyak masalah untuk mencatat kemenangan straight set 21-10, 21-12 dalam tempoh 36 minit.
Keputusan tersebut menyaksikan juara Terbuka Perancis tahun lalu itu mengekalkan rentak konsisten apabila melangkah ke separuh akhir dua kali berturut-turut selepas turut melakukannya pada Terbuka India minggu lalu.
Walaupun menang mudah di set pertama, namun Pearly-Thinaah berdepan kesukaran pada set kedua apabila beregu No.93 dunia itu tampil dengan aksi lebih kemas selain mengekori rapat kedudukan mata.
Bagaimanapun, ketenangan yang ditunjukkan beregu negara itu membolehkan mereka kembali menampilkan aksi sebenar sebelum mengesahkan tempat ke separuh akhir dengan kemenangan 21-12 di set kedua.
Menanti Pearly-Thinaah di separuh akhir esok adalah pemenang perlawanan antara beregu Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dan wakil India, Tanisha Crasto-Ashwini Ponnappa.
Sementara itu, hasrat beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mengiringi Pearly-Thinaah ke separuh akhir tidak kesampaian apabila akur dengan kekalahan straight set 17-21, 10-21 kepada beregu China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong.
Justeru, mereka yang berada pada ranking kedua dunia ketika ini terpaksa menunggu sehingga kejohanan seterusnya bagi menamatkan penantian untuk merangkul gelaran sulung dalam saingan Jelajah Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia).
Untuk rekod, Indonesia Masters merupakan kejohanan ketiga yang disertai Aaron-Wooi Yik musim ini selepas bermula agak hambar pada Terbuka Malaysia dua minggu lalu apabila tersingkir di pusingan kedua. – KOSMO! ONLINE