fbpx

Jualan LVMH tahun 2022 lebih RM363 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG wanita berjalan melintasi kedai Louis Vuitton di Florida, Miami pada 30 November 2021. -- AFP

PARIS, Perancis – Pengeluar barangan mewah utama dunia, LVMH mengumumkan bahawa jualan dan keuntungan kumpulan syarikatnya mencatat angka tertinggi terbaharu pada tahun lalu, dipacu oleh permintaan kukuh di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

LVMH mencatat jualan €79 bilion(RM363.77 bilion) dan untung bersih €14 bilion (RM64.57 bilion) untuk 2022. Kedua-dua angka itu merupakan rekod baharu untuk kumpulan tersebut yang memiliki jenama seperti Bulgari, Givenchy, Louis Vuitton dan TAG Heuer.

“Jualan di Eropah, AS dan Jepun meningkat tinggi disebabkan permintaan kukuh daripada pelanggan tempatan dan pemulihan perjalanan antarabangsa. Pasaran Asia juga stabil sepanjang 2022 berikutan perkembangan dalam situasi kesihatan negara China,” kata LVMH dalam satu kenyataan.

LVMH diterajui oleh bilionair Perancis, Bernard Arnault yang mengatasi bos Tesla dan Twitter, Elon Musk sebagai manusia terkaya dunia lewat tahun lalu.

Pengeluar arak champagne, beg tangan, barang kemas dan produk mewah lain itu merupakan syarikat paling bernilai di Eropah dengan modal pasarannya mencecah €400 bilion (RM1.84 trilion) minggu lalu.

Arnault, 73, merombak kepimpinan syarikat sejak beberapa bulan kebelakangan ini dengan melantik anak-anaknya ke jawatan utama ketika keluarga berkenaan mengukuhkan kedudukan mereka dalam LVMH.

Kumpulan itu diasaskan daripada penggabungan pengeluar beg, Louis Vuitton dan pembuat wain serta arak lain, Moet Hennessy dalam tahun 1987.

Anak lelaki sulungnya, Antoine Arnault dinamakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Christian Dior SE yang menguasai LVMH pada Disember 2022 selain memegang beberapa jawatan lain dalam LVMH.

Awal tahun ini, Arnault mengumumkan bahawa anak perempuannya, Delphine Arnault akan mengambil alih sebagai bos wangian serta jenama fesyen Dior bermula 1 Februari ini. –AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI