fbpx

Usah biar orang lain urus Pulau Pisang biarpun sehasta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PULAU PISANG adalah salah sebuah pulau kecil yang terdapat di perairan negeri Johor Darul Ta'zim, Malaysia.

MEMBESAR di Benut, sebuah pekan kecil di Pontian, Johor, penulis sangat dekat dengan sebuah lokasi istimewa bernama Pulau Pisang. Pulau kecil itu terletak tidak jauh dari Pontian, iaitu kira-kira 12 kilometer (km).

Baru-baru ini pulang ke kampung sempat berkunjung ke Tambak Pontian dan boleh nampak bentuk pulau tersebut.

Teringat zaman kanak-kanak penulis dan waktu itu, Pulau Pisang mudah dikunjungi, sekali gus terdetik di fikiran adakah pulau tersebut berdaulat dan milik mutlak kerajaan Malaysia?

Pakar Undang-Undang Laut Antarabangsa yang juga Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berpendapat, Pulau Pisang sememangnya milik Malaysia.

Sungguhpun begitu, penyelenggaraan atau seliaan dilakukan kerajaan negara jiran atau Pihak Berkuasa Maritim Singapura (MPA) disebabkan ke­wujudan rumah api yang sudah lama bertapak di sana sejak zaman penjajahan British.

“Apa yang saya tahu, penjaga rumah api warga Singapura masih kena cop pasport kalau nak masuk Pulau Pisang.

“Namun, dari segi pengurusan, seliaan atau pengurusan nampak­nya macam pulau tersebut dijaga Singapura. Kalau betul berdaulat dan mengakui pulau itu milik Malaysia, dah sampai masa kita (Malaysia) sendiri uruskan.

“Kalau hanya sebab rumah api dan itu alasan Singapura terus ingin menguruskan kepunyaan atau sesuatu milik Malaysia, mungkin perlu berlaku proses ‘decommissioning’ rumah api tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, baru-baru ini.

Malaysia bakal mengecap 66 tahun kemerdekaan pada 2023, penulis sendiri rasa kalau betul mengakui kedaulatan Pulau Pisang secara ‘mutlak’, negara ini lebih daripada mampu untuk menyelia atau menyelenggara pulau tersebut.

Perihal tersebut turut dipersetujui oleh Dr. Mohd. Hazmi yang memberitahu, barangkali ini kesilapan pemimpin Melayu zaman dahulu yang terlalu memberi ‘muka’ kepada orang putih memisah dan memperkotak-katikkan wilayah atau kawasan milik Malaysia mahupun Singapura.

“Pihak berkuasa terlibat se­perti Majlis Raja-Raja, Kementerian Luar Negeri atau Kementerian Pengangkutan mungkin perlu berunding dengan Singapura supaya pisang tidak berbuah dua kali.

“Supaya apa yang terjadi kepada Pulau Batu Puteh tidak berlaku kepada Pulau Pisang. Kita memang perlu jaga keharmonian dengan negara jiran tapi apa yang memang milik kita, sepatutnya milik kita secara mutlak.

“Ambil iktibar daripada apa yang berlaku sebelum ini. Mungkin pemimpin Melayu zaman dahulu tak nampak implikasi perjanjian pada hari sekarang

“Sekarang ini, walaupun sehasta, jangan benarkan mana-mana pihak lain mengelola atau menjaga wilayah kita,” ujarnya.

Buat penulis secara peribadi, kalau betul ‘rumah’ itu memang milik kita, kenapa perlu jiran sebelah yang tengok-tengokkan. Kenapa perlu jiran yang bayarkan bil dan betulkan kerosakan berlaku di rumah milik kita.

Malaysia dan Singapura mempunyai hubungan saudara yang erat, namun jangan sekali lagi, terperosok ke ‘gaung’ sama se­perti apa pernah dilalui Pulau Batu Puteh.

Bak kata orang putih, once it’s gone, it’s gone. Jangan berputih mata yang diikuti dengan rasa penyesalan tidak berkesudahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI