MACHANG – Mayat seorang buruh yang hilang dua hari lalu apabila bot pancung yang dinaiki bersama bapa saudara dan rakannya terbalik selepas tersangkut pada tali sebuah feri di Sungai Kelantan dekat Pangkalan Haji Mustapa, Kampung Paloh Rawa di sini ditemui pagi tadi.
Mangsa, Hisyamuddin Che Zulkifly, 23, dijumpai pada jarak kira-kira 23 kilometer (km) dari lokasi bot yang dikemudinya terbalik pada pukul 9 pagi.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat mangsa selepas menerima panggilan telefon daripada orang awam.
Menurutnya, anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan memaklumkan kepada keluarga mangsa untuk hadir membuat pengecaman selepas mayat lelaki itu dibawa ke tebing sungai.
“Selepas sesi pengecaman, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Machang di sini untuk dibedah siasat,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, Hisyamuddin tidak dapat dikesan selepas bot yang dikemudinya tenggelam, manakala bapa saudaranya, Mohd. Subry Che Ahmad, 39, dan rakan, Muhamad Riduan Hatta, 23, sempat berenang ke tebing sungai.
Ibu Hisyamuddin, Rosliza Mat Yusoff, 46, berkata, kali terakhir dia bertemu mangsa pada Ahad lalu selepas mangsa pulang ke rumah dan tinggal selama tiga malam sempena cuti Tahun Baharu Cina. – KOSMO! ONLINE