fbpx

Kutipan wakaf Selangor capai RM64.4 juta tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Aziz (kiri) melancarkan portal e-Edisi MAIS di Auditorium Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

SHAH ALAM – Kutipan wakaf di Selangor merekodkan prestasi luar jangka apabila memperoleh RM64.4 juta melebihi sasaran ditetapkan RM50 juta sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, kutipan oleh Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) seterusnya mencapai 129 peratus dengan kebanyakannya melibatkan wakaf khas berjumlah RM51.9 juta, diikuti wakaf tunai sebanyak RM10.8 juta dan manfaat wakaf iaitu RM1.7 juta.

Katanya, kutipan positif berkenaan mencatatkan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding RM58.5 juta pada 2021.

“Justeru, PWS menyasarkan kutipan wakaf berjumlah RM500 juta bagi tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang.

“Kutipan wakaf tunai boleh dipertingkatkan lagi menerusi promosi kepada syarikat, tokoh korporat dan skim potongan gaji, manakala, tabung wakaf diperluaskan di tempat awam seperti pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pasar raya,” katanya ketika ditemui selepas majlis perutusan Pengerusi MAIS 2023 di Auditorium Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Pada program itu, beliau turut melancarkan portal e-Edisi bagi membudayakan tranformasi digital dan penyerahan sumbangan wakaf van jenazah kepada masjid berkenaan.

Abdul Azizi turut memberitahu, pihaknya telah meluluskan empat strategi utama sebagai hala tuju MAIS tahun ini bersama agensi dan anak syarikat dalam mengharungi cabaran masa depan.

“Strategi itu antaranya memfokuskan kepada pengukuhan akidah dan kesejahteraan sosial ummah serta kelestarian ekonomi selain pengukuhan ekosistem tadbir urus dan perundangan serta sistem penyampaian perkhidmatan responsif,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI