GUA MUSANG – Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah trak pikap yang melanggar lampu isyarat merah di persimpangan lampu isyarat Taman Wangi, Kilometer 3 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa merupakan warga Indonesia yang dikenali sebagai Darwis, 64, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda Dash dari arah simpang Taman Wangi menuju ke Bandar Gua Musang.
“Semasa lampu isyarat bertukar hijau, mangsa meneruskan perjalanannya. Bagaimanapun, sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux dari arah Gua Musang menghala Kuala Lipis melepasi lampu isyarat merah sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.
“Insiden itu menyebabkan mangsa yang tinggal di Simpang Empat Kundur, Jalan Kuala Betis di sini tercampak dan terseret ke atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Choon Foo, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat.
Katanya, pemandu trak pikap yang berusia 59 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang bagi membuat laporan polis mengenai kemalangan tersebut.
“Siasatan lanjut mendapati, nahas dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu trak pikap yang melanggar lampu isyarat merah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE