PUTRAJAYA – Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak bagi tahun 2016 dan 2017 boleh memohon untuk dilantik sebagai jawatan tetap di Kementerian Kesihatan (KKM) mulai 30 Januari hingga Februari 2023.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, permohonan berkenaan boleh dibuat melalui Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Sistem SPA9).
“Proses itu susulan urusan pengambilan jawatan tetap Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan tahun 2018 hingga 2020 yang telah dibuka menerusi Sistem
SPA9 dari 6 Januari 2023 hingga 21 Januari 2023.
“Seramai 242 Pegawai Pergigan dan 321 Pegawai Farmasi lantikan kontrak tahun 2016 dan 2017 layak memohon jawatan tetap yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, pegawai lantikan kontrak berkenaan disarankan melayari portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk berdaftar atau mengemas kini maklumat permohonan dalam sistem SPA9.
“KKM berharap Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak tahun 2016 dan 2017 dapat membuat persediaan sewajarnya bagi urusan pengambilan tersebut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE