fbpx

Lagi warga asing ditahan kendali bot nelayan tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ENAM warga Myanmar ditahan ketika mengendalikan bot nelayan tempatan di perairan Pulau Kendi, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan enam warga asing tanpa kebenaran yang sah semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, penahanan dibuat ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C dalam rondaan Op Pertiwi dan Op Tanjung kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Menurutnya, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Bagan Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan 38 kilometer barat daya Pulau Kendi.

”Hasil pemeriksaan awal, bot dikendalikan oleh seorang tekong dan lima kru, kesemuanya warga Myanmar berumur antara 24 hingga 33 tahun.

”Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, dua daripada kru tidak mempunyai sebarang surat pengenalan diri yang sah dan pemilik bot telah melakukan kesalahan menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

”Bot serta kesemua kru ditahan termasuk 50 kilogram hasil laut sebelum dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

”Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI