PETALING JAYA – Kehangatan saingan Liga Malaysia (Liga M) semakin dirasai apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memperkenalkan waktu sepak mula baharu seawal 4.30 petang pada kempen musim 2023 kali ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam percaya pengenalan sepak mula sesi petang itu dijangka memberikan impak lebih positif serta peluang besar untuk diterokai semua pasukan bertanding.
“Bagi aksi hujung minggu (Sabtu dan Ahad), ada perubahan sepak mula di mana waktu 4.30 petang dan 4.45 petang bagi Sabah dan Sarawak manakala 5.15 petang atau 5.30 petang bagi Semenanjung Malaysia.
“Aksi sebelah malam pula pada hari bekerja pula membabitkan jam 7.30 petang dan 8.15 bagi Sabah dan Sarawak sementara 8.15 malam dan 9 malam untuk Semenanjung Malaysia.
“Langkah MFL untuk memperkenalkan waktu sepak mula baharu adalah untuk menyuntik suasana dan pengalaman baharu buat penyokong serta memujudkan hari perlawanan yang lebih dinamik,” kata Stuart pada taklimat Liga M 2023 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Mengulas lanjut, Stuart berharap respons yang bakal diberikan oleh peminat bola sepak tanah air lebih positif susulan perubahan jadual kerana ia perlu dilakukan selaras dengan penstrukturan liga lebih kompetitif.
“Ini adalah salah satu langkah yang diambil selepas pengenalan sepak mula lebih awal turut diperkenalkan bermula musim lalu meskipun pada mulanya mendapat sedikit tentangan.
“Kami percaya situasi ini memberikan lebih kesan positif berbanding negatif buat pasukan dan diharap semua pihak dapat menerima perubahan profesional ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE