PUTRAJAYA – Sebuah mahkamah di Luxembourg telah bertindak mengetepikan perintah penahanan dimohon beberapa individu yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, keputusan yang bersejarah itu telah dicapai pada Selasa lalu.
“Perintah itu telah diketepikan berasaskan dua ‘award’ timbang tara kerana dikeluarkan oleh penimbang tara yang dilantik secara tidak sah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Individu tersebut, Dr. Gonzalo Stampa, memohon perintah berkenaan pada 11 Julai 2022 dan dikatakan telah diberi kepada kelompok penuntut terbabit sebanyak AS$14.92 bilion.
Malaysia ujarnya, telah membantah secara konsisten prosiding timbang tara terlibat yang dirancang oleh penuntut itu malahan mengambil segala tindakan perundangan susulan termasuk membatalkan pelantikan dan ‘award’ dikatakan yang turut menyaksikan mahkamah di Sepanyol kemudian membatalkan pelantikan Stampa dibuat sebelumnya.
Mengulas lebih lanjut, beliau memaklumkan bahawa Malaysia juga telah membuat permohonan kepada mahkamah di Luxembourg bagi mendapatkan relif interim agar perintah penahanan aset dimiliki oleh dua subsidiari syarikat petroleum negara, Petronas turut dapat diketepikan pihak mahkamah itu.
Pendengaran bagi permohonan tersebut sudah berlangsung pada 5 Disember 2022 di mahkamah negara berkenaan yang kemudian telah mengetepikan perintah penahanan dan keputusan hakim di Luxembourg itu menjustifikasikan prinsip kerajaan Malaysia untuk mempertahankan kepentingan negara di mana-mana pentas forum antarabangsa.- KOSMO! ONLINE