PETALING JAYA – Usahawan orang kurang upaya (OKU), Azarin Razali, 50, berjaya membuktikan kekurangan diri sebagai penguat untuk terus berjaya dalam bidang perniagaan apabila berjaya menghasilkan kerusi roda bermotor pertama di Malaysia.
Pengasas syarikat Good Take yang berasal dari Melaka itu menggunakan jenama produk ‘Gospeedi’, dan ia direka dengan gabungan komponen terpilih seperti custer hadapan yang berbeza, rim belakang, sportrim dan jenis tayar untuk menjadikannya lebih praktikal serta bergaya.
“Semuanya bermula pada tahun 2015 apabila saya disahkan mengidap penyakit radang saraf tunjang yang mengakibatkan saya lumpuh.
“Berbekalkan minat terhadap permotoran, saya telah mendapat idea untuk gabungkan kerusi roda dan enjin bermotor agar ianya lebih mudah dan pantas untuk saya bergerak,” ujar Azarin.
Katanya, berbekalkan modal RM8,000, dia berjaya menjual tiga buah kerusi roda berenjin ini kepada pelanggan melalui jualan di Facebook.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula, saya mula memahami bagaimana perniagaan akan lebih berkembang maju jika kita melangkapkan ekosistem e-dagang. Ini termasuk perniagaan melalui media sosial, e-market place, enjin carian dan premis digital.
“Alhamdulillah dengan bantuan latihan insentif daripada MYNIC Berhad, saya mula mempelajari cara membuat laman web serta cara mempromosi produk secara digital.
“Tanggal 7 Jun 2021, laman web www.wheelchair2u.my telah dilancarkan dan kalau hendak dibandingkan pendapatan bulanan saya meningkat lebih 50 peratus dengan premis digital ini,” kongsinya.
Sehingga kini, Gospeedi berjaya di jual sebanyak 120 buah di mana peningkatan paling ketara dapat dilihat menerusi penjualan atas talian ataupun premis digital.
Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif MYNIC Berhad, Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan berkata, pihaknya amat komited dalam membimbing golongan OKU untuk berjaya menguasai perniagaan melalui premis digital.
“Inisiatif OKU MYNIC telah mula diperkenalkan pada tahun Februari 2020, dan setakat ini kami telah melatih lebih 300 usahawan OKU antaranya adalah wheelchair2u.my dan juga daperage.my.
“Daripada 300 usahawan OKU yang dilatih yang pada mulanya hanya memperolehi pendapatan di bawah RM1,000, kini lebih 70 peratus daripada mereka berjaya memperolehi pendapatan lebih RM1,000 sebulan. Malah hampir 20peratus berjaya menjana pendapatan melebihi RM5,000 sebulan,” katanya. – KOSMO! ONLINE