PETALING JAYA – Cuaca dingin yang melanda ketika ini akan berlarutan sehingga Isnin depan ekoran luruan monsun dengan timur Semenanjung, barat dan tengah Sarawak serta timur Sabah diletakkan dalam keadaan berwaspada.
Ketua Pengarah Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, keadaan itu berpotensi menghasilkan hujan berterusan di kawasan berkenaan dalam tempoh tersebut.
“Cuaca dingin yang melanda negara ketika ini disebabkan cuaca mendung dan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu. Suhu menurun akibat sinaran matahari terhalang oleh awan hujan.
“Bagaimanapun, ia tiada kaitan dengan fasa peralihan monsun kerana negara sedang mengalami Monsun Timur Laut yang bermula 7 November 2022 dan dijangka berterusan sehingga Mac 2023. Pada setiap tahun, fasa Peralihan Monsun lazimnya berlaku pada Mac hingga April serta September hingga Oktober,” katanya.
Menurut Muhammad Helmi, monsun yang bermula 7 November lalu itu akan berlarutan hingga Mac depan.
Sehubungan itu, Muhammad Helmi menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan menerima hujan lebat agar lebih peka dan berjaga-jaga sepanjang tempoh amaran.
Maklumat lanjut mengenai cuaca terkini boleh dilayari di www.met.gov.my, aplikasi myCuaca atau ikuti media sosial MetMalaysia.