SEPERTI diketahui umum, ketika ini sudah ramai selebriti K-pop yang membuka saluran rasmi YouTube untuk berkongsi kisah menarik dalam kehidupan mereka.
Tidak sekadar kongsi hal peribadi, YouTube juga boleh menjana pendapat sampingan buat artis.
Bagaimanapun, aktor dan bintang program Running Man, Lee Kwang-soo mengakui tidak pernah terfikir untuk memiliki saluran YouTube sendiri.
Alasannya, Kwang-soo tidak yakin untuk mempunyai akaun YouTube dan mencipta kandungan menarik bagi tatapan peminat.
“Saya tiada perancangan ke arah itu. Saya fikir, sukar untuk membuat kandungan menarik dan berbeza daripada orang lain,” katanya ketika diwawancara majalah Esquire Korea.
Dia juga mempunyai sebab lain untuk tidak menjadi pencipta kandungan dalam platform berkenaan.
Kwang-soo mendapati, seorang lagi bintang Running Man iaitu Ji Suk-jin sudah pun membuka akaun YouTube sendiri.
“Suk-jin sudah ada saluran sendiri. Jadi secara peribadi saya fikir bahawa saya tidak boleh melakukan perkara serupa dengannya,” ujar Kwang-soo.