fbpx

Bekas pengurus Top 10 FPL gegarkan Liga Fantasi Kosmo!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA pengurus yang berjaya meraih mata tertinggi mingguan Liga Fantasi Kosmo! baru-baru ini.
HELME ZULKIFLE

Bekas pengurus Top 10 FPL menang Liga Fantasi Kosmo!

BERBEKALKAN pengalaman menjadi salah seorang pengurus 10 terbaik bulanan Fantasy Premier League (FPL) pada musim 2020/2021, Helme Zulkifle membawa semangat itu ketika bersaingan pada Liga Fantasi ­Kosmo!

Strategi hanya menukar satu pemain setiap minggu menjadi pilihan buat Helme dalam usaha memburu gelaran utama Liga Fantasi Kosmo! apabila dia kini menduduki tangga ke-40 keseluruhan dengan mengumpul 1,292 mata.

“Sebenarnya fokus saya adalah memburu gelaran keseluruhan, jadi saya mengambil pendekatan untuk tidak melakukan sebarang penolakkan mata. Saya hanya menggunakan perpindahan percuma agar jurang saya dengan pasukan tempat pertama tidak terlalu jauh.

“Saya pernah berada di kedudukan ke-10 terbaik bulanan saingan FPL pada 2020/2021, jadi saya mahu bawa semangat tersebut dan terjemahkannya ke FPL Kosmo!

“Saingan liga juga masing panjang, saya harap mampu melakukan kejutan untuk menjadi salah seorang pemenang Liga Fantasi Kosmo! 2023,” kata Helme.

 

AZWAN KHAIRUL

Azwan mahu kemudi Kicap Manis FC menang hatrik

PENGURUS Kicap Manis FC, Azwan Khairul Anwar mula mengimpikan kemenangan ketiga selepas berjaya mengungguli senarai pemenang minggu Liga Fantasi Kosmo! dua kali pada minggu ke-16 dan ke-20.

Azwan menegaskan, percaturan pemain terutama pada perlawanan berganda membawa tuah kepadanya untuk diangkat sebagai pemenang mingguan dua kali berturut-turut, sekali gus mengumpul hadiah wang tunai berjumlah RM400.

“Selepas diangkat sebagai pemenang mingguan, saya terus serius mencari mata tertinggi dan tidak sangka mampu menjadi salah seorang pemenang ter­tinggi pada minggu ke-20. Mungkin penggunaan wildcard sedikit sebanyak membawa tuah.

“Memang persaingan dengan pengurus lain juga cukup sengit tetapi mungkin ini adalah rezeki saya. Jadi, sekarang mungkin saya akan menumpukan tum­puan pada minggu seterusnya.

“Saya berharap, momentum cemerlang ini akan dapat dite­ruskan dan kalau boleh saya mahu buru kemenangan ketiga,” kata Azwan.

 

NIFAIL HARIRI

Riyad Mahrez bawa tuah buat pasukan 5726

AKSI mantap ditampilkan bintang Manchester City, Riyad Mahrez nyata membawa tuah buat pasukan 5726 apabila terpilih sebagai salah satu pemenang mingguan bagi minggu ke-20 saingan Liga Fantasi Kosmo!

Kemenangan sulung yang diraih pada mingguan itu nyata membuatkan pengurusnya, Nifail Hariri Noor Hashim gembira meman­dangkan tidak sangka pemilihan pasukan yang dibuat membuahkan hasil.

Justeru, beliau berharap mendapatkan kemenangan kedua bagi aksi mingguan selepas ini, lebih-lebih lagi pa­sukannya masih belum menggunakan sebarang cip yang diperuntukkan musim ini.

“Strategi saya pada minggu ke-20 untuk menggunakan lebih ramai pemain City selain Haaland. Saya ambil keputusan mendapatkan Mahrez memandangkan dia menampilkan aksi konsisten sebelum itu dan ia berbaloi,” kata Nifail Hariri.

 

MOHAMAD AKBAR

Tidak minat bola tapi masih mampu menang Liga Fantasi Kosmo!

TUAH ayam nampak di kaki, tuah pengurus pasukan The Son of Heung Min, Mohamad Akbar Fathi Ismail adalah menjadi salah seorang pemenang mingguan bagi saingan Liga Fantasi Kosmo! minggu ke-20.

Mengakui tidak meminati bola sepak, dia mula mengkaji mengenai sukan itu, terutamanya saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas diajak rakan-rakan untuk berjinak-jinak dengan Fantasy Premier League (FPL).

Justeru, hasil analisis serta pemilihan pemain tepat bagi saingan minggu ke-20, Akbar berjaya mengecap kemenangan sulung dalam aksi mingguan Liga Fantasi Kosmo! bagi kempen 2022/23.

“Pada perlawanan minggu ke-20, saya mengeluarkan beberapa pemain seperti Mohamed Salah dan Darwin Nunez. Keputusan memasukkan Riyad Mahrez benar-benar membawa tuah kerana aksinya sangat memberangsangkan,” kata Akbar.

 

WAN OMAR SIDIQ

Pengalaman 10 tahun jadi taruhan Wan Omar Sidiq jadi pemenang

Menerusi sentuhan pengalaman 10 tahun bermain Fantasy Premier League (FPL), Wan Omar Sidiq Wan Mohd. Azman akhirnya menikmati makna kemenangan mingguan Liga Fantasi Kosmo! apabila percaturan yang dilakukan menjadi.

Wan Omar Sidiq memberi­tahu, memang agak sukar memilih pemain yang beraksi cemerlang selepas Piala Dunia Qatar 2022 kerana ramai yang kurang cergas, ditimpa kece­deraan selain kepenatan.

Disebabkan itu, ia benar-benar menguji pengurus untuk memilih pemain yang kompetitif dengan merujuk statistik serta keberangkalian tinggi pemain dipilih untuk menyumbang mata maksimum.

“Saya gembira ada platform permainan sebegini yang dianjurkan oleh Kosmo!, akhbar popular di negara ini hingga memberi keyakinan kepada saya untuk turut serta dalam pertandingan ini.

“Syukur dengan kemenangan ini dan saya harap Kosmo! akan meneruskan Liga Fantasi pada masa akan datang kerana ramai sudah percaya dengan penganjuran yang memasuki tahun kedua,” kata Wan Omar Sidiq yang merupakan penyokong Manchester United.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI