LIDAH pendek atau tongue tie (ankyloglossia) ialah keadaan lidah semasa lahir yang melekat pada bahagian bawah mulut sehingga menyekat pergerakan otot itu.
Keadaan lidah pendek berlaku disebabkan terdapat jalur tisu fiber iaitu frenum yang pendek, tebal atau ketat (lingual frenulum).
Tisu fiber ini menambat di bahagian bawah hujung lidah ke lantai mulut, ia mungkin mengganggu penyusuan bayi ketika masih kecil.
Seseorang yang mempunyai lidah pendek mungkin mengalami kesukaran untuk menjelirkan lidahnya.
Masalah ini juga boleh menjejaskan cara kanak-kanak makan, bercakap dan menelan makanan.
Tanda-tanda lidah pendek adalah seperti kesukaran mengangkat otot itu ke bahagian gigi, atas atau menggerakkannya ke sisi.
Keadaan juga dapat dilihat apabila menjelirkan lidah melepasi gigi hadapan.
Lidah akan kelihatan bertakuk atau berbentuk hati (cuspid shape) pada bahagian hujungnya.
Sesetengah bayi yang mempunyai masalah ini tidak akan terganggu. Namun, ada juga bayi yang tersekat pergerakan lidahnya sehingga menyukarkan proses menyusu.
Biasanya, masalah ini didiagnosis semasa pemeriksaan fizikal bayi yang baharu lahir. Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikesan.
Ia mungkin tidak jelas dikesan sehingga bayi tersebut mengalami masalah penyusuan.
Bagi mendapatkan penyusuan yang optimum dan berjaya, bayi perlu melekap mulut pada kawasan tisu puting payudara.
Lidah bayi juga perlu menutup gusi bawah supaya puting terlindung daripada kecederaan dan kerosakan.
Sesetengah bayi yang mengalami masalah lidah pendek tidak dapat membuka mulut mereka dengan luas untuk melekap pada payudara atau proses penyusuan dalam tempoh lama.
Proses penyusuan akan terganggu dan tersekat-sekat pada sela-sela masa tertentu.
Ini akan menyebabkan proses penyusuan tidak tenang dan bayi kerap lapar sepanjang masa.
Petanda seperti tiada penambahan berat badan sebagaimana yang sepatutnya juga perlu diberi perhatian.
Lidah pendek juga kadangkala boleh menyebabkan masalah kepada ibu menyusu.
Masalah seperti puting payudara sakit dan merekah, bekalan susu menjadi sedikit serta keradangan payudara dikenali sebagai mastitis yang terus berulang-ulang terjadi.
Pertimbangkan rawatan apabila bayi mengalami kesukaran menyusu.
Bukan setakat masalah anatomi kepada keadaan lidah pendek sahaja, malah posisi dan teknik penyusuan juga perlu diberi perhatian dengan merujuk unit penyusuan dan laktasi bayi.
Bayi yang mempunyai lidah pendek peringkat ringan hingga sederhana, berkemungkinan boleh menjalani proses penyusuan dengan baik. Biasanya, ia tidak memerlukan rawatan.
Rawatan lidah pendek secara konservatif mungkin sudah mencukupi dan tidak memerlukan rawatan lanjut seperti pembedahan.
Bantuan dengan merujuk kepada unit penyusuan dan laktasi bayi sangat-sangat diperlukan pada peringkat awal masalah tersebut.
Selain itu, penerangan yang jelas perlu diberikan kepada ibu bapa untuk pemantauan perkembangan bayi secara berterusan.
Bagi kes-kes lidah pendek pada peringkat lebih serius, pembedahan kecil bagi melepaskan lekatan yang dikenali sebagai frenotomy boleh dilakukan oleh doktor berkelayakan dan berpengalaman.
Pembedahan tersebut perlu mengikut prosedur daripada doktor gigi, pakar pergigian pediatrik serta pakar bedah mulut dan maksilofasial.
Frenotomy adalah prosedur potongan kecil atau snipping, pada tisu fiber yang melekat di bawah lidah.
Ia juga dikenali sebagai lingual frenulum.
Frenulum merupakan membran hipovaskular (kurang salur darah) yang nipis dan lut sinar.
Jadi, prosedur frenotomy ini mungkin tidak menghasilkan sebarang pendarahan, melainkan fiber tisu lingual frenulum berkenaan terlalu tebal sehingga memerlukan prosedur untuk dirujuk kepada doktor pakar.
Frenulum juga hampir tidak mempunyai inervasi saraf untuk penderiaan.
Bayi di bawah usia empat bulan biasanya boleh bertolak ansur dengan prosedur frenotomy tanpa perlu diberi ubat bius.
Bagaimanapun, ubat bius topikal akan diletakkan di sekitar tisu frenulum. Frenotomy ini adalah prosedur pembedahan kecil.
Namun, komplikasi seperti kesakitan, pendarahan dan kecederaan kepada salur kelenjar air liur yang terdapat di bawah lidah iaitu kelenjar Wharton boleh berlaku.
Dr. Mazwin Mazlan ialah Pegawai Pergigian UG54 di Klinik Pergigian Presint 18, Putrajaya