LANGKAWI – Seorang peniaga kedai makan maut manakala anak lelakinya parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta dipandu pelancong warga India di Jalan Bukit Malut di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Fodilah Abdul Kadir, 57, yang membonceng motosikal jenis Yamaha 135LC maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Sementara, anaknya yang merupakan penunggang motosikal, Mohamad Zaki Ahmad Nizat, 25, cedera parah pada kaki kanan.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika dua beranak itu dalam perjalanan ke kedai makan yang diusahakan mereka berhampiran lokasi kemalangan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki dua beranak itu dalam perjalanan dari arah Kuah ke Bukit Malut manakala kereta Perodua Bezza dari arah Temonyong ke arah Kuah.
“Sebaik tiba di Jalan Bukit Malut, kereta dipandu warga India berusia 38 tahun itu dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal dinaiki dua mangsa terbabit.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke kawasan semak di bahu jalan sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE