WASHINGTON – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merancang untuk menguji sebuah kapal angkasa yang dikuasakan oleh pembelahan tenaga nuklear, lapor akhbar Metro UK semalam.
Menurut pegawai, NASA berharap agar roket berkuasa nuklear itu boleh beroperasi menjelang 2027. Projek itu dipanggil Roket Demonstrasi untuk Operasi Cislunar Agile atau dikenali sebagai DRACO.
Roket itu dikuasakan oleh haba penggerak nuklear. Di dalam enjin, reaktor nuklear akan menghasilkan haba ekstrem yang kemudian dipindahkan ke pendorong hidrogen.
Pendorong hidrogen seterusnya akan mengembang dan disalurkan ke sebuah saluran di belakang kapal angkasa yang kemudian akan mendorongnya untuk bergerak ke hadapan.
Proses itu dianggarkan kira-kira tiga hingga empat kali ganda lebih cekap berbanding penggunaan roket kimia konvensional.
“Dengan bantuan teknologi baharu ini, angkasawan boleh melakukan perjalanan ke, dan dari angkasa lepas dengan lebih pantas berbanding sebelum ini. Ia merupakan keupayaan utama yang membolehkan persiapan kru dalam misi ke Marikh,” kata Pentadbir NASA, Bill Nelson.
Bagi menjadikan DRACO satu realiti, NASA bekerjasama dengan Agensi Projek Penyelidikan Lanjutan Pertahanan (DARPA), sebuah agensi kerajaan AS yang penyelidikannya membawa kepada inovasi seperti satelit cuaca, GPS dan internet.
Ujian terakhir roket berkuasa pembelahan nuklear berlaku 50 tahun lalu untuk projek Enjin Nuklear untuk Aplikasi Kenderaan Roket, atau NERVA. NASA belum menguji roket nuklear sejak ia menutup program itu pada 1973. – Agensi