SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan penglibatan dan penggunaan Pemangku Ketua Polis Selangor dalam kandungan skim penipuan yang menawarkan hadiah wang tunai RM270,000.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, PDRM telah mengesan penularan berkenaan jenayah penipuan menggunakan nama Telekom Malaysia Berhad dan Maybank Berhad.
Katanya, dalam kandungan yang tersebar itu menyatakan beliau memaklumkan PDRM bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan hadiah peraduan berjumlah RM270,000 yang ditawarkan agensi itu adalah benar.
“PDRM menegaskan bahawa kandungan yang tular itu adalah satu bentuk penipuan dengan menyamar dan menggunakan namanya bagi memperdayakan orang ramai agar mempercayai skim tersebut.
“Siasatan akan dijalankan ke atas individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pemangku Ketua Polis Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, PDRM menasihatkan orang awam untuk sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya terhadap sebarang taktik penipuan masa kini. -KOSMO!ONLINE