KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, disebabkan video tular Bella, dia telah dikecam dan diugut bunuh sehingga hari ini.
Selain dikecam dan diugut, dia juga telah hilang pekerjaan selain perniagaan makanan yang diusahakan turut dipulau.
“Tapi nasi sudah menjadi bubur dan saya sudahpun dipanggil untuk membela diri atas kesalahan yang tidak jelas. Saya telah dikecam dan juga berada pada tahap diugut bunuh sejak kes ini tular sehingga hari ini hampir setiap masa.
“Saya juga dicemuh, dihina disebabkan tindakan Zurianty (saksi pendakwaan pertama) menyebarkan video Bella yang disunting,” katanya ketika membaca pernyataan bela diri atas tuduhan mengabai dan menganiaya Bella.
Dalam pernyataan bela diri itu, Siti Bainun turut menyatakan pada pegawai penyiasat mengakui tidak mendengar dengan betul video yang dirakam Zurianty Sudin.
Katanya, apa yang membingungkan, pegawai penyiasat turut mengatakan tidak ada keperluan untuk melihat dan mendengar video yang mana ia menjadi asas penyiasatan mereka.
“Kalau mereka (pegawai penyiasat) mendengar dan membuat transkrip, mesti perbicaraan dan penyiasatan serta pendakwaan ini tidak memprejudiskan saya,” katanya lagi.
Tambahnya, Zurianty yang juga rakannya juga tidak pernah datang dan mengambil tahu tentang Bella yang merupakan remaja sindorm Down.
“Sebab itu, saya hairan bila tiba-tiba Zurianty muncul di rumah saya pada 24 Jun 2021 semasa saya memang terang-terang tidak ada di rumah.
“Jadi, apabila saya dapat makluman dialah yang merakam video Bella dan saya dengar di mahkamah dia juga yang sebarkan kepada pihak lain, saya terkejut,” katanya.
Sementara itu, berhubung kecederaan Bella, Siti Bainun berkata, difahamkan seorang bekas penguni Rumah Bonda (Balqis) bergaduh dengan remaja itu menyebabkan mereka berlari dari ruang tamu ke dapur ke bahagian laundry yang mana thermos diletakkan.
“Semasa berlari, Yasmin (bekas penghuni Rumah Bonda) turut masuk campur dan terlanggar almari yang menempatkan thermos sehingga ia jatuh ke arah Bella selain air panas dari thermos tumpah pada Bella dan almari.
“Saya juga telah membawa Bella ke Klinik bagi mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan. Kerana itu jugalah pada sambutan hari raya luka Bella telah kering sebab telah dirawat.
“Tiada sebarang kecederaan baru pada Bella sebab itulah satu-satunya kejadian yang berlaku,” tambahnya yang memaklumkan ketika kejadian dia tiada dirumah.
Perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.– KOSMO! ONLINE