fbpx

Perak yakin kutip RM780 juta cukai tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani.

IPOH – Kerajaan negeri yakin dapat memungut cukai sehingga RM780 juta tahun ini berbanding hampir RM700 juta yang direkodkan tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keyakinan itu adalah berasaskan kejayaan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Perak yang mencapai sasaran 100 peratus kutipan cukai tahun lalu.

Selain itu, katanya, sasaran tahun ini juga mampu dicapai jika semua pihak memberikan komitmen jitu serta melaksanakan pelbagai pendekatan strategik.

Ia termasuklah kaedah MEDIC iaitu Magnification (Pembesaran), Efficiency (Kecekapan), Damage Control (Kawalan Kerosakan), Imagination (Imaginasi) dan Consistency (Ketekalan).

“Ekonomi Perak memperlihatkan prestasi positif dengan mencapai pertumbuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 3.5 peratus pada 2021 berbanding kemerosotan 2.4 peratus pada 2020.

“Pada 2022 pula, Perak dijangka mencatatkan pertumbuhan positif dengan mengambil kira momentum pertumbuhan KDNK nasional sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga berbanding 8.9 peratus pada suku kedua dan 5 peratus pada suku pertama tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2023 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, memasuki jendela 2023 pula, semua perlu memperkuatkan asas ekonomi bagi mendepani ketidaktentuan ekonomi.

Katanya, kerajaan perlu mencipta langkah-langkah progresif untuk merangsang ekonomi selain meningkatkan kecekapan kutipan hasil.

“Berdasarkan laporan yang belum diaudit, kerajaan negeri menutup akaun bagi 2022 dengan pencapaian jumlah Hasil dan Terimaan Pembangunan sebanyak RM1.13 bilion, melebihi sasaran asal semasa pembentangan Belanjawan Negeri Tahun 2022 iaitu RM1.05 billion.

“Daripada pencapaian tersebut, jumlah hasil yang diperoleh bagi tahun 2022 adalah RM1.09 bilion atau 105.89 peratus berbanding sasaran.

“Pencapaian kutipan hasil ini hampir menyamai kutipan hasil pada tahun 2019 iaitu RM1.095 bilion. Ini menunjukkan hasil kerajaan negeri kembali pulih selepas dua tahun menghadapi penurunan akibat pandemik pada 2020 dan 2021,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI