fbpx

Emosi Hukum, debaran Hariz Danial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARIZ DANIAL

BAGAI cendawan tumbuh selepas hujan, begitulah pepatah tepat untuk menggambarkan lambakan kehadiran penyanyi baharu dalam industri muzik tanah air ketika ini.

Situasi sebegitu baik, namun dalam masa sama, agak malang jika mereka hanya berbekalkan wajah tampan dan cantik, namun tidak seiring dengan kua­liti nyanyian.

Berbeza dengan penyanyi muda, Hariz Danial yang mempunyai pakej lengkap saat memulakan langkah perdananya apabila hadir dengan single berjudul Hukum.

Lagu ciptaan komposer terkenal, Sirkhan Danial dan Ibnu Rinkarnaen tersebut diterbitkan Armani Entertainment Group (AEG).

Penyanyi asal Johor itu bersyukur diberi peluang untuk mengeluarkan single hasil ciptaan komposer terkenal tanah air.

“Syukur alhamdulillah kerana peluang menghasilkan single ini adalah rezeki yang tidak disangka-sangka.

“Sejujurnya saya tidak pernah terfikir akan menyanyikan lagu ciptaan komposer hebat seperti Sirkhan Danial dan Ibnu Rinkarnaen.

“Terima kasih kepada pihak AEG kerana sudi melamar saya menjadi artis naungan mereka dan terutamanya kepada Datuk KK Chua yang nampak serta percaya dengan bakat yang saya miliki,” katanya.

HARIZ DANIAL tidak sangka dapat bekerja dengan dengan komposer hebat menerusi lagu Hukum.

Di sebalik wajah remaja, siap sangka Hariz sebenarnya sudah mencecah usia 27 tahun.

Perjalanan seninya bermula ketika dia masih lagi bergelar siswazah sepenuh masa.

“Ketika menuntut di universiti, saya sudah pun aktif menyanyi dalam majlis kecil-kecilan, seperti majlis perkahwinan, makan malam dan pesta graduasi.

“Mulanya sebagai hobi kemudian bertukar menjadi pendapatan sampingan ketika masih belajar.

“Saya mula serius apabila menyertai program I Can See Your Voice (ICSYV) musim ketiga dan pernah menjadi pemenang mingguan sehinggalah dinobatkan sebagai juara keseluruhan, saya juga pernah menjadi peserta program Vokal Mania,” ujarnya.

Kongsi graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia itu lagi, titik mula penghasilan single berkenaan tercetus setelah dia disunting menjadi artis naungan syarikat rakaman selepas berjaya melepasi uji bakat yang diadakan.

Pengasas & Ketua Pegawai AEG, KK Chua pula menggambarkan kehadiran Hariz ibarat bulan jatuh ke riba dan merasakan sudah tiba masanya untuk memperkenalkan bakat penyanyi muda itu kepada khalayak ramai.

“Kami percaya bakat anak muda tempatan wajar diberikan peluang dan diketengahkan agar ramai penggemar muzik dapat menikmatinya.

“Saya yakin dengan kebolehan Hariz yang mampu pergi jauh jika berada di landasan yang betul, lagi pula memang matlamat AEG untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu,” jelasnya.

PERNAH menjadi peserta program I Can See Your Voice dan Vokal Mania, Hariz Danial kini bersedia melangkah lebih jauh menerusi single perdananya, Hukum.

Menyentuh tentang penghasilan single baharunya, Hariz berkata, proses rakaman memakan masa selama tiga hari kerana perlu mempersiapkan emosi serta vokal yang dituntut agar meresap ke dalam jiwa apabila dinyanyikan seiring dengan video muzik yang bermetafora.

“Video muzik Hukum ada metafora mendalam melalui teknik artistik yang ditonjolkan dengan saya memainkan watak teman lelaki yang seakan-akan merangkak ke hadapan dan belakang.

“Situasi tersebut menunjukkan betapa peritnya untuk melepaskan seseorang yang kita sayangi lebih daripada diri sendiri.

“Harapan saya agar lagu ini diterima oleh semua pendengar dan mendapat sokongan ramai selain mampu berada di peringkat yang lebih tinggi. Cubalah selami dan fahami maksudnya,” tambah Hariz.

Lagu Hukum merupakan sebuah karya balada pop moden dengan sedikit elemen rock yang menceritakan perhubungan sepasang kekasih yang tiada persefahaman dan tidak sehaluan.

Lagu berkenaan sudah boleh dilayari menerusi aplikasi penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Sementara itu, video muzik Hukum pula sudah boleh ditonton secara eksklusif dalam YouTube Armani Entertainment.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI