DISAKITI, dicurangi dan ditinggalkan kekasih menjadi rencah utama dalam katalog dendangan penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan.
Lebih istimewa, lagu-lagu galaulah yang sinonim dan menjadi identitinya sejak sedekad lalu.
Tidak hairan Konsert Cakra Khan: A Decade Live in Kuala Lumpur di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada malam Sabtu minggu lalu boleh diibaratkan sebagai nuansa duka diari hati seorang lelaki.
Apatah lagi persembahan figura bersuara parau enak itu diiringi muzik orkestra lengkap, membuatkan setiap dendangan larut sehingga menusuk ke dalam sanubari.
Selain luahan rasa akibat kehilangan cinta, lagu ditujukan buat individu paling rapat dengannya iaitu lagu lama berjudul Ayah yang diberikan sentuhan maestro muzik, Datuk Ramli MS antara yang meninggalkan impak.
Meremang bulu roma sebaik alunan muzik berkumandang di segenap ruang diikuti nyanyian serba syahdu hingga membuatkan penonton sebak dan tidak kurang tersedu-sedu menyeka air mata sepanjang Cakra berdendang.
Membuka rahsia, Cakra mengakui nyanyiannya bermula dengan irama dangdut sebelum bapanya menubuhkan sebuah band bagi memenuhi undangan persembahan pelbagai majlis.
Ketika itu air matanya tumpah di hadapan lebih 2,500 peminat setia ketika segmen khas buat bapa, Allahyarham Herman yang dijemput Ilahi dua tahun lalu. Kali ini juga, buat pertama kali, ibunya Entik Trisuyatmi hadir menyaksikan konsert meganya di KL.
Pemilik nama sebenar, Cakra Konta Paryaman, 31, itu berkata, kehadiran ibu yang sebelum ini pernah menghalang minatnya sebagai penyanyi memberi makna besar dalam perjalanan kerjaya seninya sejak sedekad lalu.
“Ibu antara yang pertama kali protes sewaktu saya mula menyanyi. Teringat ketika dahulu, ibu sering memarahi ketika saya banyak menyanyi di kamar mandi.
“Namun, seiring berjalannya waktu saya banyak belajar menyanyi dan ibu mula menerima sehingga menjadi penyokong tegar anaknya ini.
“Kebiasaannya ibu bersama bapa saya. Tapi lihat dia sendirian malam ini membuatkan saya beremosi.
“Jadi, ketika membawakan lagu Ayah, saya membelakangi layar putih yang memaparkan video ayah supaya dapat kawal emosi,” katanya usai persembahan.
Berbalik tentang kemunculan meganya, detik melankolia nyata ‘merebak’ dalam kalangan peminat tegar yang turut menyelami perasaan kehilangan insan tercinta.
Terdahulu, gelanggang Dewan Plenari dipanaskan katalog seleksi lagunya sendiri seperti Adalah Aku, Salah Tapi Baik dan Cintamu Bukan Untukku.
Setiap judul mempunyai cerita tersendiri dalam galur perjalanan seni Cakra genap sedekad lalu terutama terhadap individu pertama mempercayai bakatnya yang dipanggil Pak William Chow.
Sudah pasti vokal emasnya terus membuai khalayak yang larut dalam emosi apabila Kepada Hati, Mencari Cinta Sejati, Opera Tuhan dan lagu baharu berjudul Nanti pula diperdengarkan.
Bagai dijanjikan, Cakra tidak melupakan penghibur idolanya, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan memilih judul Bukan Cinta Biasa dan Seluruh Cinta, selain lagu Terlalu Cinta (Rossa) untuk dinyanyikan.
Dua penghibur dihormatinya itu turut hadir memberi sokongan malah ramai selebriti turut duduk di kerusi penonton termasuk Puteri Sarah Liyana, MK K-Clique, Azira Shafinaz, Nabil Ahmad, Fazura, Fattah Amin dan Sherry Alhadad.
Dua penyanyi berbakat, Khai Bahar dan Aina Abdul diundang menyemarakkan pentas konsert Cakra.
Momentum persembahan terus memahat kenangan dengan seleksi popular nyanyian artis lain seperti Hanya Memuji (Shanty), I Will Survive (Gloria Gaynor), Jealous (Labyrinth) dan Kamelia (Sweet Charity).
Sebelum menutup tirai dengan dendangan wajib, Harus Terpisah dan Kekasih Bayangan, Cakra berkongsi pentas dengan teman baiknya, Ade Govinda menyampaikan Hal Terhebat dan Tanpa Batas Waktu.
Hampir tiga jam yang tidak terasa, konsert anjuran Seven Skies Motion itu berlangsung hingga setiap alunan vokalnya menjadi penenang sukma jiwa.
Konsert yang meraikan ulang tahun ke-10 dalam arena muzik itu disempurnakan dengan cemerlang bersama rentetan kisah perjuangan yang selama ini tidak dikongsi secara umum.
Ibarat mengupas satu demi satu helaian diari hidup, penyanyi sarat semangat juang itu jujur mengakui cinta mungkin jauh daripadanya disebabkan lagu galau dibawakan umpama doa.