MADRID – Real Madrid boleh menarik nafas lega selepas kapten, Sergio Ramos dilaporkan cergas dan mungkin diturunkan pada aksi Liga Juara-Juara menentang Shakhtar Donetsk di Santiago Bernabeu awal pagi esok.
Terdahulu, laporan awal mengatakan pemain antarabangsa Sepanyol itu tidak dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan lutut ketika tewas 0-1 kepada Cadiz Ahad lalu.
Pada perlawanan tersebut, Ramos terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama dan kecederaan itu kelihatan serius apabila lututnya dibaluti dengan ais.
Bagaimanapun, selepas menjalani ujian serta imbasan lanjut, Ramos yang juga kapten Sepanyol tidak mengalami kecederaan serius, sekali gus membuatkan pengurusan pasukan berasa lega.
Meskipun tidak mengalami kecederaan serius, namun jurulatih, Zinedine Zidane akan memantau keadaan Ramos sebelum membuat keputusan bagi aksi menentang Shakhtar.
Sementara itu, Real terpaksa melupakan khidmat pemain tengah Norway, Martin Odegaard yang memerlukan tempoh tiga minggu untuk pulih selepas tercedera ketika beraksi bersama pasukan negaranya.
Isu kecederaan yang membelenggu Real nyata mengganggu persiapan pasukan itu bagi menghadapi beberapa perlawanan penting termasuk El Clasico menentang Barcelona Sabtu ini. – AGENSI