PUTRAJAYA – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menetapkan sasaran RM35 bilion bagi nilai eksport sektor agrikomoditi dalam tempoh 100 hari akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sasaran ditetapkan itu adalah antara petunjuk prestasi utama (KPI) yang diputuskan pada Sesi Pemukiman Jemaah Menteri baru-baru ini.
Beliau berkata, pada sesi itu, semua kementerian diarah menyediakan KPI bagi jangka masa pendek (100 hari), sederhana (dua tahun) dan panjang (lima tahun).
“KPK telah menetapkan beberapa KPI untuk jangka masa pendek (100 hari) termasuk memperkukuh nilai eksport dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dalam Sektor Agrikomoditi.
“Kami menyasarkan pekebun kecil di bawah Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) supaya dapat mengeluarkan sehingga 55,000 tan jualan buah tandan segar dalam tempoh 100 hari,” katanya ketika berucap pada majlis Amanat Tahun Baharu 2023 di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya turut menyasarkan untuk mewujudkan 2,000 tenaga kerja mahir dalam sektor agrikomoditi dalam tempoh sama.
Fadillah yang juga merupakan Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pihaknya juga menyasarkan untuk meningkatkan akses pasaran agrikomoditi tempatan ke peringkat antarabangsa, memodenkan pengurusan sektor agrikomoditi dengan sasaran enam projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) dikomersialkan.
Menurutnya, pihaknya juga akan memperkasa penyampaian perkhidmatan dalam sektor agrikomoditi berintensifkan teknologi digital dengan mencapai peratus perkhidmatan dalam talian kementerian secara end to end (E2E) meningkat kepada 98.5 peratus.
“Kami juga akan menguatkuasakan pelesenan tembakau dan produk tembakau dengan mendaftar dan melesenkan sebanyak 15,000 premis secara dalam talian,” katanya.
Katanya, kementeriannya juga telah merangka merangka inisiatif Bajet 2023 untuk dilaksanakan bagi menyokong pencapaian KPI tersebut.-KOSMO! ONLINE